Artikel

Tuesday, February 8, 2011

Siapakah Muhammad al-Fateh???

Pagi 22 April 1452 bersamaan dengan 852 Hijrah, penduduk Constantinople dikejutkan dengan laungan takbir, paluan gendang, dan nasyid. Demikian gema kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Sekali gus gema itu seolah-olah satu serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Penduduk Constantinople seperti tidak percaya kekuatan tentara Muhammad al-Fateh. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana tembok setebal 4 lapis, setinggi 25 kaki, dan sejauh 160 kaki itu berjaya ditembusi oleh tentera Muhammad al-Fateh?

HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Hadis ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad al-Fateh, khalifah ke-7 kerajaan usmaniyah bersama 150, 000 orang tenteranya.

Sebelum Hadis ini direalisasikan, umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

PENGENALAN

Sultan Muhammad al-Fateh ialah salah seorang daripada tokoh pemimpin kerajaan Islam yang masyhur tercatat dalam sejarah dunia. Beliau bukan sahaja hebat sebagai pemimpin malah nama beliau sebagai panglima perang, dikenali di benua Eropah. Mendengar namanya sahaja sudah mengundang gementar di hati musuh-musuhnya walaupun ketika itu beliau sudah 10 tahun meninggal dunia. Beliaulah pemerintah Islam pertama mendapat gelaran yang diberikan oleh Barat sebagai “Grand Seigneur” yang bermaksud pemimpin agung.

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fateh kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda, Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut dihujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung


Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.
Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota


Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin


Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”. Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

Di sini ternafilah tohmahan golongan orientalis Barat dan musuh-musuh Islam bahawa beliau menegakkan Islam dengan kekerasan. Walhal mata pedang digunakan sebagai jalan terakhir. Tujuan orientalis itu hanyalah untuk mengelirukan masyarakat terhadap Islam. Dr. Abd. Salam bin Abd Aziz dalam bukunya yang bertajuk Sultan Muhammad al-Fateh Pembuka Constantinople Menundukkan Rom, menjelaskan bahawa Sultan Muhammad al-Fateh memiliki keyakinan diri yang kuat. Selain itu, dia juga mempunyai pandangan jauh serta kepintaran yang tinggi. Malah Sultan Muhammad al-Fateh mampu menghadapi tekanan, keperitan, dan bebanan yang dihadapinya. Beliau seorang pemuda yang warak. Malah, jarang sekali beliau menunaikan solat, melainkan di masjid.

Sultan Muhammad al-Fateh digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Beliau lebih mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan diri. Pada masa yang sama, beliau sering mendampingi ulama-ulama dan ilmuwan. Kedudukannya sebagai Sultan tidak menghalang minatnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman. Kehidupan beliau sebagai pemimpin digambarkan cukup sederhana. Malah beliau sangat memusuhi pembaziran. Oleh sebab itu, hidangan makanan dan cara berpakaiannya tidak terikat dengan peraturan-peraturan istana.

Selain kejayaan dalam bidang ketenteraan dan penaklukan wilayah, Sultan Muhammad al-Fateh juga berjasa dalam mengembangkan dakwah Islam ke benua Eropah. Melalui akhlak dan keperibadian beliau, ramai yang tertarik dan memeluk Islam. Hal ini berlaku pada hari kemenangan tenteranya, iaitu apabila beliau telah mengampunkan penduduk Kristian Kota Constantinople. Dengan sikap toleransi yang ditunjukkan itu, menyebabkan ada dalam kalangan paderi terus menyatakan keislaman mereka.

Sepanjang pemerintahannya, beliau tidak lupa membangunkan aspek fizikal dan rohani rakyatnya. Beliau telah membina Masjid al-Fath yang terkenal dengan gelaran Blue Mosque. Selain itu, beliau juga telah memulihkan semula peranan Masjid Aya Sofia sebagai mercu dan syiar Islam di Turki. Sultan Muhammad al-Fath meninggal dunia pada bulan Mei 1481 dan jenazahnya dikebumikan di Kota Constantinople.

Tuesday, September 1, 2009

Ijazah TAQWA Untuk Graduan Madrasah Ramadhan

Merujuk kepada Ayat 183 surah al Baqarah :
يا يها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
Wahai orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang – orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah swt.
( Surah al Baqarah : Ayat 183 )

Ayat di atas jelas menegaskan bahawa perkara asas yang ingin dicapai melalui ibadah puasa yang difadhukan ini ialah Taqwa. Tanpa taqwa ertinya ibadah puasa yang dilakukan oleh kita tidak mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah swt. Maksud yang seerti dengannya ialah puasa kita gagal apabila kita gagal mendapatkan taqwa melalui aktiviti puasa di sepanjang bulan Ramadhan ini. Sebab semua orang memahami bahawa kejayaan dalam sesuatu kerja atau urusan ialah melihat kepada hasil atau objektif perlaksanaannya sejauh mana ia dicapai. Inilah yang biasa disebut sebagai management by objective.

Penilaian ibadah puasa yang dilakukan ialah memperoleh taqwa. Taqwa ialah menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah dengan jalan melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan Allah. Imam Hassan Basri menyatakan taqwa ialah memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka. Ibn Abbas menghuraikan taqwa ialah orang yang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal serta taat kepada perintahnya. Kesimpulannya taqwa ialah menjunjung segala perintah Allah dengan penuh rasa perhambaan kepada Allah tanpa ada sedikit keraguan terhadap apa yang diperintah oleh Allah SWT.

Beberapa anugerah Allah yang akan berikan kepada mereka yang bertaqwa kepada Allah SWT. Sesungguhnya kita sebagai pejuang agama Allah perlu berusaha untuk mendapat darjat taqwa kerana ia akan menjadi bekalan yang cukup bermakna. Antara faedah taqwa yang akan diperolehi oleh hambanya ialah:

1.Allah memelihara orang yang bertaqwa

Firman Allah SWT

“Bertaqwalah (patuhlah) kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang memelihara diri dari kejahatan” al-Baqarah:194

Mereka yang bertaqwa adalah mereka yang dikasihi Allah SWT ketika mereka hidup di dunia ini. Allah akan membantu hambanya yang bertaqwa. Allah tidak mensia-siakan hambanya yang mengikut telunjuk Allah SWT. Sebagai agggota jamaah Pas yang berusaha untuk menegakkan Islam secara syumul di atas muka bumi perlu kepada sifat ini untuk mendapat bantuan Allah SWT. Almaklum sahajalah kita berada dalam serba serbi kekurangan samaada dari segi tenaga, kewangan, ahli, kepakaran, media dan sebagainya. Sudah tentu kita memerlukan kepada bantuan Allah SWT dalam perjuangan kita. Kerana dengan bantuan Allah tidak ada mana kuasa yang dapat menepis dan menghalang kerja-kerja perjuangan Islam .

2.Mampu membezakan yang hak dan batil

Kita berada di dalam suasana negara yang penuh dengan kekeliruan. Golongan agama diperalat oleh penguasa negara. Mereka hanya dijadikan terompah kayu untuk diguna ketika berhadapan dengan Pas yang memperjuangkan matlamat yang suci. Kekeliruan ini boleh dijernihkan oleh orang yang dianugerahkan sifat taqwa oleh Allah SWT. Inilah doa yang kita selalu minta kepada Allah “Ya Allah tunjukkanlah hak itu hak, dan batil itu batil”. Mutaakhir hari ini kebatilan dianggap kebenaran, kebenaran dianggap kebatilan. Orang yang menyatakan hak dicaci, mereka yang menyokong kezaliman dipuji. Seluruh media diperalatkan untuk memfokoskan bahawa golongan Islam adalah jahat dan ganas. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, kiranya kamu takut kepada Allah, nescaya dia (Allah) akan mengurniakan kamu pengenalan untuk membezakan (antara hak dan batil) (Al-Anfal:29)

3. Menghapuskan dosa hambanya

Sebagai hamba yang tidak dapat lari dari kesalahan dan kesilapan dalam tindakan, ketika membuat keputusan sewaktu melaksanakan amanah Allah dalam jamaah. Hanya satu jalan sahaja yang membolehkan kita terlepas dari azab Allah ialah dengan kita memohon keampunan kepada Allah. Tidak ada nikmat yang paling berharga apabila kita dianugerahkan oleh Allah keampunan. Di dalam bulan Ramadhan di antara perkara yang nabi suruh kita perbanyakkan ialah beristighfar, mengucap kalimah tayyibah (lailahaillallah), minta supaya dijauhkan daripada neraka dan minta dimasukkan kedalam syurga. Hanya orang yang bertaqwa Allah akan memberikan keampunan. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, kiranya kamu takut kepada Allah, nescaya dia (Allah) akan mengurniakan kamu pengenalan untuk membezakan (antara hak dan batil) dan dihapuskan kesalahan kamu” (Al-Anfal:29).

4. Orang bertaqwa terpelihara daripada tekanan hidup

Mereka yang bertaqwa akan terpelihara daripada kesempitan hidup dan kesempitan rezki. Kerana Allah yang memiliki langit dan bumi. Allah yang bersifat al-Rahman, al-Rahim, al-Razzaq tidak pernah mengabaikan hambanya yang bertaqwa kepada Allah SWT. Allah maha mengetahui kedudukan hambanya yang berbakti kepadanya tanpa ada sedikit keraguan terhadap keupayaan Allah dalam segala hal. Maka layaklah Allah menganugerahkan kepadanya rezki yang tidak disangka-sangka. Allah membuka jalan keluar yang agak lapang kepadanya.

Tidak ada dalam sejarah perjuangan Islam orang papa kerana berjuang Islam. Tidak ada mereka yang lapar kerana berjuang di atas agama Allah, keran Allah lebih mengetahui segala apa keperluan hambanya yang hidup di atas muka bumi ini. Banyak kita melihat Allah anugerahkan kepada hambanya yang bertaqwa yang berjuang dalam Pas, mungkin mereka tidak kaya dengan harta, tetapi mereka diberi kepada mereka anak yang soleh dan anak yang bijak dan berjaya dalam pelajaran. Walaupun ibu bapa mereka ditekan dan dinafikan hak sebagai warga Negara. Mereka ditukar tempat kerja, dinafikan hak untuk berniaga, tidak dapat jalan raya dan bantuan yang sepatutnya. Tetapi dengan taqwa Allah menjadikan jalan keluar yang luas kepadanya. Firman Allah SWT:

“Barangsiapa yang bertawa kepada Allah (dengan mematuhi segala perintahnya dan menjauhi larangannya) nescaya Allah akan mendorongkan baginya jalan keluar (dari kesulitan), dan Dia (Allah) akan memberikan rezki kepadanya dari (sumber) yang tidak disangka” al-Talaq:2-3

5. Balasan orang yang bertaqwa ialah syurga

Inilah harapan dan idaman kita yang berjuang di atas agama Allah, iaitu hidup kekal abadi dalam syurga yang dianugerahkan kelebihan yang tidak terlintas di dunia. Firman Allah SWT:

“Itulah syurga yang kami hendak pusakakan kepada hamba kami yang bertaqwa” Maryam:63.
Berjuang dijalan Allah inilah idaman kita iaitu syurga yang tidak ada harga yang boleh dibayar. Kalau berjuang atas jalan lain daripada jalan Allah, yang dapat kalah atau menang, manakala syurga bukan impian dan cita-cita, sebaliknya dunia dan laba yang dihambat. Sempena dengan Ramadhan ini maka berdoalah kepada Allah supaya dianugerahkan syurga. Walau bagaimanapun syurga tidak dihampari dengan permaidani merah, sebaliknya ia dihampari dengan onar dan duri. Semua Nabi dan Rasul melalui jalan ini, mereka tidak melalui jalan mudah untuk ke syurga, baginda Rasulullah SAW merupakan orang yang banyak menerima dugaan dan cabaran.


6. Orang yang bertaqwa mendapat kemulian di dunia dan di akhirat.

Islam tidak memandang kepada rupa paras dan solekan di luar, tetapi yang dipandang ialah hati yang takut kepada Allah. Mereka yang bertaqwa akan dimulia oleh Allah dan juga makhluk. Walaupun manusia akhlaknya jahat, ia tahu menghormati orang yang bertaqwa kepada Allah. Allah melontarkan perasaan sayang dan hormat dalam hati orang yang jahat kepada orang yang bertawa kepada Allah.
Hendak mendapat kemulian daripada Allah bukan bergantung kepada status, darjat dan keturunan. Tetapi ia bergantung kepada amalan taqwa yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa” al-Hujurat:13

Kesimpulannya, taqwa adalah natijah daripada puasa seorang yang beriman kepada Allah SWT. Maka kita mengharapkan sebagai pejuang agama Allah dapat mencapai darjat ini dengan sebaiknya. Rebutlah peluang yang ada di dalam bulan Ramadhan terutama 10 terakhir nanti. Penuhilah ruang-ruang waktu Ramadhan dengan membanyakkan membaca al-Quran, tadarrus, iktikaf, bersedekah, memberi makan orang yang berbuka. Ini adalah amalan yang mendekatkan diri kita untuk menjadi mereka yang bertaqwa kesan daripada Ramadhan yang kita lalui. Semoga Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada sebelumnya.

Thursday, August 6, 2009

Kemerdekaan, Ramadhan dan perjuangan Gerakan Islam

Bulan Ramadan tahun ini disambut ketibaannya bersekali dengan kita meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51. Sekali gus ia seharusnya membangkitkan kesedaran dan keinsafan kepada kita semua tentang betapa pentingnya hubungan antara kemerdekaan dan kedaulatan yang kita kecapi itu dan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Quran yakni dustur tertinggi umat Islam.

PAS lahir berjuang dalam negara ini sejak sebelum ia mencapai kemerdekaan. Ahli, pendukung dan pemimpinnya telah bergelut bersama dengan para pejuang kemerdekaan yang lain dalam menebus maruah negara ini yang tergadai di tangan penjajah. Berteraskan semangat Tok Janggut, Tuan Guru Haji Ad Rahman Limbong dan lain-lain, melalui gerakan Hizbul Muslimin yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Abu Bakar al-Baqir tetapi diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1948, PAS telah bangkit. Atas semangat dan kesedaran Islam serta tuntutan menegakkan daulah Islamiyah, tanggal 24 November 1951 PAS (ketika itu Persatuan Islam Semalaya) diasaskan di Kepala Batas, Seberang Prai, Pulau Pinang dan diluluskan pendaftarannya pada 31 Mei 1955.

PAS lahir dengan cogan kata "Allahu Akbar" dan seruan "Merdeka" dengan Bab Pertama fasal (2) perlembagaan asalnya menyebut:

"(1) Menjalankan ikhitar dan langkah dengan tujuan menegakkan kemerdekaan negara dan umat Islam. (2) Menjalankan cita-cita Islam dalam masyarakat dan urusan pemerintahan negara."

Kini kita telah Merdeka 51 tahun, dan PAS terus kekal malah relevan dalam perjuangan politik negara, terus-menerus memeluk dan memikul cita-cita perjuangan yang sama iaitu berjuang untuk melaksanakan Islam. PAS telah bertembung jatuh dan bangun dalam persada politik Malaysia yang Merdeka (sejak Pilihan raya Persekutuan pra Merdeka 1955) tanpa sekali-kali melentur atau menggugurkan prinsip perjuangannya yang kini setelah lebih 50 tahun Merdeka telah pun diiktiraf dan diakui oleh kawan dan lawan, oleh masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara malah peringkat dunia.

Ramadan terus memperingatkan kita tentang betapa penting dan perlunya perjuangan mendaulatkan Islam ini. Allah swt menyebut bahawa al-Quran, (yang merupakan sumber hukum tertinggi dalam PAS) diturunkan pada bulan ini sebagai petunjuk bagi manusia serta rujukan yang akan memandu manusia untuk membedakan antara yang hak dan batil. Lantas Ramadan seharusnya menjadi bulan penyuntik semangat, bulan peringatan bahawa apa yang kita perjuangkan selama ini adalah benar dan hak selagi mana kita terus berada di atas landasannya yang sebenar.

Muhasabah Ramadan sepatutnya menginsafkan kita jangan sekali-kali terpesona sehingga menyimpang atau lari dari tujuan asal perjuangan kita, kerana bahananya kita akan terlepas dari lindungan dan rahmat Allah SWT.

Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi, ketika menghuraikan "Ideologi dan politik Islam" pernah menyebut:

"Politik Islam mengikut al-Quran dan Sunnah. Politik Islam tidak boleh bercerai tanggal dengan Quran dan Sunnah. Sama ada perkara yang telah tetap hukumnya dan perkara-perkara baru timbul atau ditimbulkan semuanya hendaklah mengikut dan berpandu Quran dan Sunnah. Sebarang hukum atau ketetapan yang berlawanan dengan Quran dan Sunnah dengan sendirinya BATAL. Idea mesti berpandu kepada al-Quran. Al-Quran tidak boleh berpandukan idea."

Almarhum Prof Zulkifli Mohammad pula ketika menghuraikan "Rancangan perjuangan PAS" ada menyebut:

"Tugas kita yang terpenting sesudah tercapainya kemerdekaan ialah berikhtiar supaya undang-undang dan peraturan yang diamalkan dalam masyarakat dan dalam pemerintahan negara, sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah. Dengan itu barulah ada nilainya Islam itu sebagai agama pembimbing hidup kemanusiaan."

Semoga ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51 ini serta madrasah Ramadan yang sedang kita tempuhi dengan penuh ikhlas, reda dan rela ini mengukuhkan lagi kefahaman dan kesedaran kita semua akan tugas dan tanggungjawab yang terbentang di hadapan kita. Ia digalas silih berganti sejak dari zaman pejuang-pejuang yang terdahulu, ada yang gugur syahid, dan ada yang bersedia menunggu giliran. Jangan kita persiakan prinsip dan tujuan asal kita itu, yang terpelihara sekian lama sehingga ke hari ini.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-51 dan Ramadan Kareem.

Thursday, June 18, 2009

“Semarakkan Ukhuwwah, Gerakkan Dakwah”



Kelab al-Azhar Members (ALAM) melangkah setapak lagi ke hadapan dalam melalui rentetan babak-babak perjuangannya dengan penganjuran Malam Ukhuwwah Perdana baru-baru ini. Malam Ukhuwwah Perdana yang bertemakan “Semarakkan Ukhuwwah, Gerakkan Dakwah” itu menghimpunkan seluruh persatuan dan warga KUIS dalam usaha merapatkan hubungan silaturrahim demi menggerakkan usaha dakwah di kampus ini. Program tersebut dianjurkan bertujuan untuk menjelaskan lagi peranan ALAM sebagai peneraju dakwah kampus disamping merapatkan lagi kelab ini dengan seluruh warga KUIS.
Tetamu yang hadir kira-kira 350 orang bersesak-sesak memenuhi Auditorium sebaik sahaja selesai menunaikan solat fardhu Isyak dengan penuh penantian dan harapan. Kehadiran tetamu yang di luar jangkaan itu menyaksikan hampir setiap sudut dan tempat duduk dipenuhi oleh hadirin. Majlis dimulakan denagn bacaan ayat-ayat suci al-Quran diikuti dengan ucapan pengerusi BADAR. Majlis pada malam tersebut diteruskan dengan ucapan wakil Presiden ALAM diikuti dengan ucapan wakil Penasihat ALAM, Ust. Abu Zaki B. Ismail selaku Timbalan Nazir Masjid al-Azhar yang mewakili Ust. Mohd Farid Ravi yang tidak dapat hadir.
Kemuncak pada malam Ukhuwwah tersebut ialah pelancaran kumpulan nasyid ALAM “Shababul Islami” dan pelancaran yang penuh simbolik itu disempurnakan sendiri oleh Ust. Abu Zaki diiringi oleh Presiden ALAM. Kumpulan Nasyid Shababul Islami yang baru ditubuhkan itu juga berkesempatan mempersembahkan sebuah lagu sebagai hadiah kepada tetamu yang hadir. Persembahan nasyid daripada kumpulan Shababul Islami mendapat sambutan yang begitu membanggakan daripada tetamu yang hadir dengan tepukan gemurruh dan sekali-sekala kedengaran laungan takbir mengiringi persembahan tersebut.
Majlis yang pada awalnya dianjurkan secara sederhana tetapi mendapat sambutan yang membanggakan itu berakhir pada pukul 11.15 malam dengan bacaan doa. Penganjuran Malam Ukhuwwah Perdana pada malam tersebut amat penting bagi ALAM khususnya bagi meneruskan usaha murni memartabatkan Islam di bumi KUIS agar difahami dan dihayati sepenuhnya dalam kehidupan mahasiswa dan warga KUIS serta memimpin kearah perubahan yang lebih baik. Semoga usaha ini dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan mendapat keredhaan Allah SWT.

“ ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN ”

Takbir!!!

Monday, May 11, 2009

Selamat kembali ke KUIS


Mungkin belum terlewat untuk ana ucapkan selamat datang, ahlan wasahlan wamarhaban bikum untuk semua pelajar-pelajar semester baru ke bumi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor KUIS. Sehingga pagi tadi (12 Mei)ana difahamkan oleh pengarah program minggu ta'aruf bahawa bilangan pelajar-pelajar baru yang mendaftar diri adalah seramai lebih kurang 1000 orang. Bilangan pelajar yang mendaftar tidaklah penting bagi ana walaupun hakikatnya ana lebih selesa dengan bilangan yang sedikit kerana secara jujurnya KUIS belum bersedia untuk menerima pelajar yang terlalu ramai atas banyak faktor.

Persoalan yang lebih penting ialah apakah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pihak pentadbiran KUIS khususnya dan persatuan-persatuan mahasiswa umumnya untuk meletakkan KUIS ditahap yang gemilang dan mendapat keredhaan ALLAH SWT. Hari ini kita dapat melihat bagaimana mahasiswa yang hidup dalam iklim kampus semakin hari semakin hilang jati diri sebagai seorang muslim sejati dan kehidupan mereka semakin jauh daripada panduan al-Quran.

Bertitik tolak dari situlah, Al-Azhar Members (ALAM) mengambil tanggungjawab sebagai satu amanah dari Allah SWT untuk terus beristiqamah menyampaikan mesej Islam kepada seluruh warga KUIS sehinggalah Islam berada di tempat yang selayaknya.

ALAM yang menjadi peneraju dakwah kampus meneguhkan azam dan iltizam serta berkeyakinan bahawa hanya ada satu jalan penyelesaian yang dapat menyelamatkan mahasiswa KUIS daripada belenggu kejahilan moden dan memimpin mereka yang sedang dalam kebingungan dan membimbing ke jalan yang sebenar iaitulah Islam yang syumul. Bertepatan dengan moto “Islam Memimpin Mahasiswa”, ALAM akan terus berusaha untuk merealisasikan matlamat ini dalam meninggikan Islam di Bumi KUIS dan menjadi satu amanah yang besar bagi seluruh pendokong-pendokong ALAM untuk terus istiqamah dan meningkatkan daya juang dalam perjuangan ini.

Akhir kata dari ana, ana menyeru kepada seluruh persatuan-persatuan di KUIS khususnya daripada Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) untuk bersama-sama berganding bahu menyampaikan mesej Islam kepada semua. Al-Azhar Members (ALAM) sedia bekerjasama dengan mana-mana persatuan yang mempunyai cita-cita yang sama iaitulah untuk meninggikan Islam di bumi KUIS dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Thursday, March 5, 2009

Kita ada 3 Kekuatan...

1) Kekuatan akidah Islamiyah.

Akidah adalah kepercayaan yang tetap di dalam hati. Daripadanya manusia memahami dan membina kehidupan. Benar akidah, luruslah kehidupan dan tindakan manusia. Salah akidah, terpesonglah kehidupan dan tindakan manusia.

Akidah kita adalah akidah Islam. Akidah Islam adalah benar. Ia benar kerana Islam adalah daripada Allah, tuhan yang mencipta kehidupan ini. Allahlah pemilik hujjah yang benar dan hakiki. Justeru Islam adalah diselubungi hujjah yang membenarkan kebenaran.

Oleh kerana hanya Islam diperakui Allah sebagai ugama di sisiNya, maka agama dan kepercayaan selain Islam adalah batil. Ia batil kerana ia bersumber bukan daripada Allah yang maha mengetahui segala - galanya mengenai kehidupan ciptaanNya ini, bahkan ia bersumberkan selainNya yang tiada kekuasaan sedikit pun sepertiNya. Oleh kerana sumber ugama selain Islam adalah lemah, maka ia dengan sendirinya adalah ugama yang batil, lemah dan tanpa hujjah.

Manusia menjadi gembira, mulia dan gagah apabila memiliki kebenaran, hak dan hakikat. Mereka menjadi kuat, mulia dan berani demi mempertahankan sekeping wang kertas hasil titik peluhnya sendiri berbanding si pencuri untuk mempertahankan 1000 keping wang kertas yang dicurinya.

Kita menjadi gagah, mulia dan berani kerana kita memiliki akidah yang benar ini. Orang kafir adalah lemah, takut dan hina kerana akidah mereka adalah lemah dan batil. Keberanian kita adalah betul dan abadi. Keberanian yang lahir daripada orang kafir adalah tipu daya, sia - sia dan sementara. Ini kerana kita mempertahankan hakikat dan kenyataan, sementara mereka hanyalah mempertahankan kebatilan dan bayang - bayang.

Dengan kekuatan inilah RasuluLLah sallaLlahu alaihi wasallam membentuk para sahabatnya radhiaLlahu anhum yang pertama. Mereka dalam sekelip mata berubah menjadi kumpulan paling gagah dan kuat di Kota Mekah walaupun dipenuhi segala kekurangan selain akidah yang benar yang ditanam oleh RasuluLlah di dalam hati mereka. Kekuatan mereka terbukti dengan keengganan mereka tunduk kepada kekuatan jahiliyah yang memaksa mereka menukar kebenaran yang baru dimiliki dengan kebatilan akidah lama yang telah mereka tinggalkan.

Justeru akidah adalah kekuatan utama dan pertama umat Islam sepanjang zaman. Justeru ia mestilah dipelihara keaslian dan ketulenannya. Kerosakan di dalam mewarisi akidah Islam akan mencetuskan fenomena kelemahan dan kehinaan ke atas umat Islam. Apabila akidah Islam bercampur aduk di antara pengajaran Allah dan pengajaran manusia, maka ia menjadi palsu dan tidak lagi tulen. Apabila begitu, maka hilanglah sengat utama dan pertama umat Islam.

Kita mestilah menjaga keaslian akidah kita dengan sentiasa menilai dan menolak campur aduk yang tidak diizinkan. Maka menjadi kewajiban pertama kita untuk mengenali akidah yang benar dan sahih sebagaimana wajib mengenal kerosakan dalam akidah.

PAS yang kita intima’ , wala’ dan dukunginya adalah panji akidah Islam yang benar. Ia membenarkan dan menerima perselisihan yang dibenarkan di dalam akidah yang dianuti Ahlus Sunnah Wal Jamaah sepanjang zaman. PAS menolak apa yang ditolak oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Justeru PAS menolak akidah sekular, kebangsaan, kenegaraan, liberal dan apa - apa ideologi politik yang telah lama atau sedang tumbuh di negara kita. PAS juga menolak akidah sesat yang dipelopori ajaran sesat samada yang lama atau baru, melampau atau terlalu meringankan.

Oleh kerana ajaran Syiah ditolak ajarannya oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah dek pertentangannya dalam perkara - perkara asas akidah, maka PAS menolak mazhab Syiah untuk turut dianuti ahli dan pendukungnya selain menyeru umat Islam menjauhinya.
Dengan akidah yang benar, maka kekuatan kita adalah benar, betul dan abadi. Dengannya kita menjadi mulia dan diredhai Allah.

2) Kekuatan Ukhuwwah Islamiyah

Persaudaraan adalah tali yang mengikat antara manusia. Persaudaraan menyatukan di antara individu dan mengelak perselisihan sesama manusia. Oleh kerana manusia perlu bersatu demi kehidupan yang harmoni dan bahagia, pelbagai ikatan digunakan demi mengukuhkan persaudaraan dan penyatuan.

Ikatan darah, keturunan, bangsa, kabilah, warna, pangkat, negara, geografi malah ideologi manusiawi adalah pilihan manusia untuk hidup bersatu. Tetapi alangkah sempit, sukar dan putusnya penyatuan berdasarkan ikatan - ikatan tersebut. Kulit hitam tidak boleh disatukan dengan kulit putih selamanya kerana warna yang berbeza. Begitulah yang lain.Kegagalan menyebabkan manusia berpecah. Perpecahan menyebabkan manusia dan kehidupan menjadi lemah dan kucar - kacir.

Ukhuwwah Islamiyah atau persaudaraan Islam adalah kekuatan kita. Ia adalah ikatan agama. Ia adalah ikatan berteraskan akidah yang benar dan sahih. Manusia muslim disatukan di dalam kepercayaan yang dibekalkan tuhannya sendiri.Persaudaraan Islam berbeza dengan yang lain daripada dua sudut:

Pertama, ia tidak dibatasi ikatan - ikatan sempit seperti di atas. Islam boleh dianuti semua manusia tanpa kecuali. Islam adalah untuk semua.
Kedua, ia adalah ikatan di atas ugama yang benar. Ugama dan ideologi lain yang menjadi asas ikatan persaudaraan adalah batil dan sesat. Sesuatu yang dibina di atas kebatilan dan kesesatan adalah lemah, gagal dan tidak kekal.

Persaudaraan Islam lahir daripada pengajaran ugama bahawa manusia adalah hamba kepada tuhan yang satu. Kepercayaan ini menjadikan mereka bersatu tunduk kepada satu arahan, satu harapan dan satu matlamat. Jalan menuju Allah adalah lurus. Kelurusan hala tuju akan mengelak pertembungan.

Kemudian, umat Islam disatukan melalui rujukan yang sama iaitu al Quran dan ar rasul dan juga ibadah yang sama iaitu rukun Islam yang lima. Begitulah pengajaran Islam telah membina landasan yang betul ke arah penyatuan umat Islam.Umat Islam bersatu kerana mereka diarah untuk bersatu tujuan. Mereka bersatu kerana mereka dilarang berbeza tujuan. Arahan dan larangan bersifat rabbani yang pasti benar ini mendorong umat Islam untuk saling menjaga diri dan saudaranya daripada tersasar.

Justeru lahirlah sifat - sifat mulia yang menjadi medium ke arah kesatuan seperti nasihat, ta’awun, hikmah, lembut, sabar, berani, lapang dada dan lain - lain lagi. Juga hilanglah sifat - sifat buruk yang mendorong perpecahan seperti angkuh, kikir, kasar, keras, keluh kesah, penakut, sempit dada dan lain - lain lagi.Dengan kekuatan ukhuwwah Islamiyah inilah RasuluLlah telah membentuk barisan sahabatnya yang bersatu sedari awal pembentukan mereka melalui akidah yang benar. Dengan kekuatan ini jugalah baginda menyatukan di antara kaum Muhajirin dan Ansar sebaik penghijrahan baginda ke Madinah. Begitulah talian - talian dan ikatan - ikatan lain menjadi kerdil dan terpinggir di hadapan kekuatan ukhuwwah Islamiyah.

Justeru kita menjadi kuat dan gagah. Kesatuan kita adalah diibarat sebuah bangunan yang kukuh, saling menyokong di antara komponennya. Atau seperti jasad yang satu, apabila satu anggota sakit, ia turut ditanggung oleh semua anggota yang lain.
Kita mestilah menjaga dan memperkukuhkan persaudaraan Islam ini. Ia adalah asas yang menjadikan kita gagah dan dihormati semua manusia. Kita mestilah menjauhi perkara - perkara yang memungkinkan kekeruhan, ketegangan dan kepanasan berlaku atas sebab - sebab yang kecil atau tidak benar. Kealpaan dan kelalaian di dalam menjaga kekuatan ini pasti akan menjebakkan kita kepada perpecahan yang dimurkai Allah.

PAS yang kita intima’, wala’ dan dukunginya adalah panji persaudaraan Islam. Ia gagah dan hebat dengan ukhuwwah Islamiyah ahlinya sebagaimana ia gagah seawalnya dengan akidah Islamiyah yang sahih dan benar. PAS menolak kesatuan yang diasaskan di atas unsur - unsur perkauman, kenegerian, kepentingan dan faham - faham sempit yang lain. PAS terus di hadapan menyeru kepada kesatuan manusia yang benar dan sejati untuk rakyat Malaysia seluruhnya.

3) Kekuatan jihad Islami

Jihad Islami adalah kemuncak amal Islami. Tanpanya Islam takkan ke mana di bumi ini. Tanpanya tiada matlamat akan dicapai dan tiada harapan menjadi kenyataan.
Jihad adalah bersungguh - sungguh menuju Allah. Bersungguh - sungguh dengan segala kudrat tubuh dan kepunyaan untuk mencapai apa yang dituntut Allah. Kesungguhan jenis inilah yang mencipta kekuatan yang maha agung yang tak tersaing oleh segala kekuatan selainnya.

Setiap muslim dituntut mencapai dua matlamat:

1) Matlamat duniawi: Menegakkan khilafah Islamiyyah di muka bumi. Ia bererti agama Islam mestilah menang dan menguasai seluruh agama dan ideologi manusiawi di dunia ini.
2) Matlamat ukhrawi: Memperolehi ridha Allah dan syurgaNya. Ia bererti segala urusan muslim di dunia ini hendaklah dengan niat memperolehi ridha Allah semata - mata.
Ia adalah matlamat yang besar yang tidak mungkin dicapai kecuali dengan kesungguhan yang memuncak. Kesungguhan atau al jihad inilah yang mencipta kekuatan kepada umat Islam. Dengan kekuatan inilah lahirnya peribadi - peribadi Islam yang unggul di dalam ilmu dan akhlak. Dengan kekuatan ini jugalah agama Islam akhirnya tersebar ke seluruh dunia.

Oleh kerana Islam adalah ugama yang menyeluruh dan meliputi semua aspek dan sektor kehidupan, maka cabangan jihad adalah luas seluas kehidupan ini. Oleh kerana Islam membina, memajukan dan memberkati semua urusan kehidupan, maka Islam menganjurkan jihad di semua bidang demi keunggulan Islam dan kehidupan manusia di dunia ini.
Jihad agung menentang tentera kuffar difardhukan selepas RasuluLlah berhijrah ke Madinah. Dengan kefardhuan inilah kekuatan barisan muslimin menjadi semakin nyata dan menggerunkan musuh. Pembukaan Kota Mekah adalah kemenangan yang merongkai segala kekusutan terhadap kekuatan Islam untuk menguasai dunia.

Dengan panji al jihad al islamilah Islam bergerak maju menyebarkan dan menguasai dunia dan peradabannya.Justeru jihad difardhukan dan berterusan sehinggalah hari kiamat. Tiada umat yang meninggalkannya kecuali akan ditimpa kehinaan. Tiada umat yang memakainya kecuali akan dikurniai kekuatan dan kemenangan.

Kita mestilah menjadi mujahidin menegakkan ugama Allah. Kita mestilah memiliki ciri - ciri pejuang Islam yang gagah berani demi melengkapkan barisan tentera Islam menuju kemenangan.PAS yang kita intima’, wala’ dan dukunginya adalah panji al jihad al islami. Ia menanam dan melatih pendukungnya untuk berusaha memenuhi tuntutan jihad. PAS menolak unsur - unsur yang merosakkan cita - cita dan wawasan al jihad seperti malas berkerja, tidak istiqamah, bermusim, mengintai dan berebut jawatan dalam parti dan lain - lain yang merencatkan kelangsungannya.Hanya dengan al jihad Islam dan PAS akan menang dan berjaya menguasai negara ini.

Inilah 3 kekuatan kita. Inilah sumber kita dan inilah kita.
Sesudah anda memahami ini, anda akan lebih mudah untuk memahami tuntutan - tuntutan yang perlu kita laksanakan sebelum kita boleh senyum dan mendabik dada bahawa kita telah melaksanakan kewajiban di sisi Allah.

Anda tidak dapat tidak selain membina akidah dengan betul. Jika tidak ia adalah kekuatan yang sementara dan sia - sia. Anda mestilah berusaha menyatukan saf pejuang Islam dan jangan menjadi punca atau batu api yang memecahkan kesatuan jamaah dan perjuangan Islam. Jika tidak ia akan melemahkan kekuatan Islam dan menghilangkan kehebatannya di sisi musuh. Anda mestilah pula menjadi mujahid agama ini dalam bidang yang dimudahkan Allah untuk anda. Jika tidak kekuatan Islam akan hancur bercempera serta mudah dilumpuhkan oleh musuh.

Kita sentiasa di ambang kemenangan jika kita sudah bersedia dengan 3 kekuatan ini. Selamat berjuang!
sumber:http://nikabduh.wordpress.com

Monday, February 16, 2009

Giliran Islam Memimpin Dunia

Sebelum bumi ini dimusnahkan oleh Allah swt, Islam yang kita cintai akan sekali lagi memimpin dunia ini buat kali kedua. Hakikat ini tidak boleh disangkal lagi kerana ianya telah dijanjikan oleh Allah swt. Persoalannya, bilakah akan tibanya saat yang kita nantikan itu? secara peribadi, saya yakin dan teramat yakin bahawa kemenangan yang dijanjikan itu semakin hampir dan kita sedang menuju ke arah kemenangan Islam di akhir zaman. Keyakinan itu dikuatkan lagi dengan kata-kata seorang tokoh Islam bahawa abad ke 21 ini adalah milik Islam.

Atas kesedaran dan keyakinan itu, seluruh pendokong gerakan Islam di seluruh dunia perlu menyedari bahawa kita sedang menuju ke arah sebuah pemerintahan Islam yang tertegak di dalamnya syariat-syariat Allah swt. Usaha ke arah itu sedang rancak berlansung di celah-celah cabaran dan ujian yang begitu hebat dan tidak ketinggalan, perkara yang sama juga sedang berlaku di Malaysia,negara kita yang tercinta. Paling jelas, mutakhir ini kita dapat melihat bagaimana orang-orang bukan Islam tanpa beselindung lagi telah memberikan sokongan yang luar biasa kepada Gerakan Islam ataupun Parti Islam.

Baru-baru ini secara kebetulan, saya dipertemukan oleh Allah swt dengan seorang pemuda berbangsa India dan beragama Hindu yang bekerja sebagai pemandu lori. Pemuda tersebut menceritakan bahawa beliau baru sahaja pulang daripada Negeri Kelantan Darul Naim yang dipimpin oleh seorang ulama di bawah pemerintahan Islam. Pemuda itu memuji pemerintahan 'Tok Guru' dan kehidupan rakyat Kelantan yang katanya tidak pernah dilihat di neneri lain. Tanpa berselindung lagi, pemuda tersebut mengaku bahawa beliau telah memberikan sokongan yang begitu hebat dan mengundi Parti Islam dalam PRU-12 yang lalu.

Dalam masa yang sama kita juga sama-sama telah menyaksikan bagaimana sistem-sistem ciptaan manusia telah ranap sama sekali. Paling dekat, sistem kapitalisme yang diagung-agungkan selama ini terutamanya oleh kononnya 'Polis Dinia' Amerika Syarikat hampir-hampir tertiarap menyembah bumi. Jika sistem komunisme telah lama pupus, sistem sosialisme yang menggantikannya juga telah lama lenyap. Sekarang ini kita sedang dan akan menyaksikan bagaimana kapitalisme yang menggantikan sistem sosialisme benar-benar tertiarap menyembah bumi dan kejatuhan kapitalisme sedang berlaku sekarang ini. Jadi, apakah alternatif yang ada untuk menggantikan sistem-sistem ciptaan manusia ini? jika soalan ini ditanyakan kepada saya, jawapannya mudah, iaitulah 'Islam'.

Atas kesedaran itu juga, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abd. Hadi Awang menyatakan bahawa apa yang berlaku hari ini adalah tanda-tanda kemenangan Islam dan tanda-tanda musuh akan dikalahkan dengan izin Allah SWT. Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu sedar bahawa sudah tiba masanya giliran Islam untuk bangkit dan bersama-sama dalam usaha kebangkita itu kerana kemenangan Islam itu telah dijanjikan oeleh Allah swt.

As-Syahid Imam Hassan al-Banna pernah menyatakan bahawa " Islam pasti bangkit dan daulah Islam pasti akan tertegak di atas muka bumi ini, bila dan dimana bukanlah persoalannya, tetapi adakah kita tergolong dari golongan yang menyumbang kepada kebangkitan Islam itulah yang perlu ditanya".