Thursday, August 6, 2009

Kemerdekaan, Ramadhan dan perjuangan Gerakan Islam

Bulan Ramadan tahun ini disambut ketibaannya bersekali dengan kita meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51. Sekali gus ia seharusnya membangkitkan kesedaran dan keinsafan kepada kita semua tentang betapa pentingnya hubungan antara kemerdekaan dan kedaulatan yang kita kecapi itu dan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Quran yakni dustur tertinggi umat Islam.

PAS lahir berjuang dalam negara ini sejak sebelum ia mencapai kemerdekaan. Ahli, pendukung dan pemimpinnya telah bergelut bersama dengan para pejuang kemerdekaan yang lain dalam menebus maruah negara ini yang tergadai di tangan penjajah. Berteraskan semangat Tok Janggut, Tuan Guru Haji Ad Rahman Limbong dan lain-lain, melalui gerakan Hizbul Muslimin yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Abu Bakar al-Baqir tetapi diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1948, PAS telah bangkit. Atas semangat dan kesedaran Islam serta tuntutan menegakkan daulah Islamiyah, tanggal 24 November 1951 PAS (ketika itu Persatuan Islam Semalaya) diasaskan di Kepala Batas, Seberang Prai, Pulau Pinang dan diluluskan pendaftarannya pada 31 Mei 1955.

PAS lahir dengan cogan kata "Allahu Akbar" dan seruan "Merdeka" dengan Bab Pertama fasal (2) perlembagaan asalnya menyebut:

"(1) Menjalankan ikhitar dan langkah dengan tujuan menegakkan kemerdekaan negara dan umat Islam. (2) Menjalankan cita-cita Islam dalam masyarakat dan urusan pemerintahan negara."

Kini kita telah Merdeka 51 tahun, dan PAS terus kekal malah relevan dalam perjuangan politik negara, terus-menerus memeluk dan memikul cita-cita perjuangan yang sama iaitu berjuang untuk melaksanakan Islam. PAS telah bertembung jatuh dan bangun dalam persada politik Malaysia yang Merdeka (sejak Pilihan raya Persekutuan pra Merdeka 1955) tanpa sekali-kali melentur atau menggugurkan prinsip perjuangannya yang kini setelah lebih 50 tahun Merdeka telah pun diiktiraf dan diakui oleh kawan dan lawan, oleh masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara malah peringkat dunia.

Ramadan terus memperingatkan kita tentang betapa penting dan perlunya perjuangan mendaulatkan Islam ini. Allah swt menyebut bahawa al-Quran, (yang merupakan sumber hukum tertinggi dalam PAS) diturunkan pada bulan ini sebagai petunjuk bagi manusia serta rujukan yang akan memandu manusia untuk membedakan antara yang hak dan batil. Lantas Ramadan seharusnya menjadi bulan penyuntik semangat, bulan peringatan bahawa apa yang kita perjuangkan selama ini adalah benar dan hak selagi mana kita terus berada di atas landasannya yang sebenar.

Muhasabah Ramadan sepatutnya menginsafkan kita jangan sekali-kali terpesona sehingga menyimpang atau lari dari tujuan asal perjuangan kita, kerana bahananya kita akan terlepas dari lindungan dan rahmat Allah SWT.

Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi, ketika menghuraikan "Ideologi dan politik Islam" pernah menyebut:

"Politik Islam mengikut al-Quran dan Sunnah. Politik Islam tidak boleh bercerai tanggal dengan Quran dan Sunnah. Sama ada perkara yang telah tetap hukumnya dan perkara-perkara baru timbul atau ditimbulkan semuanya hendaklah mengikut dan berpandu Quran dan Sunnah. Sebarang hukum atau ketetapan yang berlawanan dengan Quran dan Sunnah dengan sendirinya BATAL. Idea mesti berpandu kepada al-Quran. Al-Quran tidak boleh berpandukan idea."

Almarhum Prof Zulkifli Mohammad pula ketika menghuraikan "Rancangan perjuangan PAS" ada menyebut:

"Tugas kita yang terpenting sesudah tercapainya kemerdekaan ialah berikhtiar supaya undang-undang dan peraturan yang diamalkan dalam masyarakat dan dalam pemerintahan negara, sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah. Dengan itu barulah ada nilainya Islam itu sebagai agama pembimbing hidup kemanusiaan."

Semoga ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51 ini serta madrasah Ramadan yang sedang kita tempuhi dengan penuh ikhlas, reda dan rela ini mengukuhkan lagi kefahaman dan kesedaran kita semua akan tugas dan tanggungjawab yang terbentang di hadapan kita. Ia digalas silih berganti sejak dari zaman pejuang-pejuang yang terdahulu, ada yang gugur syahid, dan ada yang bersedia menunggu giliran. Jangan kita persiakan prinsip dan tujuan asal kita itu, yang terpelihara sekian lama sehingga ke hari ini.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-51 dan Ramadan Kareem.

No comments: