Thursday, November 13, 2008

Ada apa dengan usrah???

Proses tarbiyah Islamiyah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.


Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa makna keluarga adalah merupakan satu medan di mana ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat ukhuwwah Islamiyah.


Bila mana kita menyebut ianya sebagai satu proses pembentukan, ia membawa makna penekanan dan perbincangan di dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.
Penekanan terhadap unsur-unsur yang akan menlahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan terhadap Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) yang akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun secara sistematik akan di kalahkan oleh kebatilan yang bersistem.

Ahli-ahli usrah pula perlulah menggunakan ruang serta peluang ini untuk memantapkan kefahaman Islam secara syumul serta beramal dengannya ke arah membina kesatuan fikrah dan menyumbamg ke arah kebangkitan ummah.Aspek yang ditekankan dalam setiap perjumpaan usrah hendaklah lebih menjurus ke arah keperluan amal bukan sekadar menghabiskan masa dengan membahaskan teori semata-mata.

Hal ini perlu disedari oleh semua umat Islam khususnya pendokong gerakan Islam kerana tujuan manusia diciptakan selain untuk mengabdikan diri kepada Allah, kita juga berperanan sebagai khalifah dalam memakmurkan muka bumi.Ibnu Khaldun telah mentakrifkan maksud khalifah dalam kitabnya al-Mukhaddimah iaitu sebagai pengganti nabi dalam urusan menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama.


Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diperkasakan sepanjang masa agar keberkesanannya akan dapat menguntungkan Islam dan umatnya.Akhir sekali perlu diingatkan bahawa kemenangan Islam di akhir zaman ini pasti akan tiba. Terpulanglah kepada kita sama ada hanya ingin melihat ataupun ingin tergolong dari kalangan orang yang bersama dalam mengembalikan kegemilangan Islam. Imam Hassan al-Banna pernah menyebut "Islam pasti bangkit dan daulah Islam pasti tertegak, bila dan di mana bukanlah persoalannya, tetapi adakah kita tergolong dari kalangan orang yang menyumbang kepada kebangkitan Islam itulah yang perlu ditanya".

Semoga Allah s.w.t. meredhai usaha kita yang sedikit ini.

bumihijau/141108

No comments: